DOA SENJATA MUKMIN

Firman Allah maksudnya:

" Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."

(al-Baqarah:186)

April 30, 2012

ANEH(part 5)


Zahra menggaru-garu kepalanya yang kurang gatal. Rambutnya gugur dengan banyaknya. Dia terfikir-fikir sejak kebelakangan ini juga dia terpaksa kerap mengutip mahkota hitam itu di lantai lantas membuang ke dalam tong sampah di bucu bilik.
“Mungkin kuat berfikir agaknya” lantun suaranya. Cukup perlahan.
Dia meraba-raba komputer riba untuk membuka butang on. Hari ini dia cuba mencari penyelesaian kepada masalahnya. Dia cuba menyembunyikan segala masalah kepada ibunya. Takut ibunya bimbang. Sungguh dia tidak mahu menyesakkan hati ibunya itu.
Dia berasa aneh dengan perubahan dirinya. Rambut gugur, tubuhnya bagai dicucuk-cucuk pagi tadi dan panas sekejap meremang sejuk. Sejak dua tiga hari ini sahaja. Namun, dia biasakan diri. “Mungkin aku berfikir negatif” getus hatinya lagi.
Dia mencapai tetikus lantas menghala panah ke arah Mozilla Firefox. Dia yakin mungkin ada sebab menjadi begini.

Dia menaip di google.

GEJALA RAMBUT GUGUR dan menekan ENTER.

Cuma pelbagai tips atau cara menangani rambut gugur sahaja berada di ruang skrin komputernya. Zahra mematikan niatnya. Tidak perlulah mencari puncanya. Mungkin perlu banyak rehat, fikirnya. Dia membuka pula facebook miliknya serta youtube.
Semalam BERSIH 3.0! gumam hatinya tertarik dengan video tersebut. Lautan manusia membanjiri Kuala Lumpur. Rugi tidak ikut serta kerana dia asyik sakit-sakit sahaja. Hampir sahaja dia pergi bersama kamera DSLRnya untuk merakam detik-detik indah di Dataran Merdeka. Meriah!

Pada pandangan otaknya yang kian ligat berfikir, demonstrasi jalanan tidak juga salah. Kerajaan perlu memberi rakyat bersuara demi kepuasan hati mereka. Namun, lunas-lunas keadilan tidak lagi menjadi keutamaan dalam memimpin barisan rakyat. Kenapa 8 tuntutan perhimpunan BERSIH diketepikan demi kepentingan parti politik.
Lantas Zahra mencapai selembar kertas dan pen untuk menulis sesuatu.

Dunia ini palsu,
pada zahir dan batinnya,
kiri kupandang, kanan ku toleh,
kejung...tiada jiwa...

ku terfikir, ku dongak ke awan biru,
hanya itu yang realitinya...
seperti syurga amannya...

kau tahu kenapa??
tidak difikir luhur dan ikhlasnya
terus menyambar bak api membakar
rakus dan serakah

dunia palsu
titik noktah kau tahu di dasar tanah
longlai tanpa bicara
azab menimpa, lemas tak bernyawa...

Bait bait sajak yang sentiasa menjadi teman dikala duka dan gembira. Dia bersyukur dikurniakan akal. 

Alhamdulillah.

QIAM DALAM REDHANYA(part 4)

Seboleh-bolehnya Zahra cuba menghabiskan zikir-zikri yang cukup mengetarkan hati nuraninya. Dia merancang sistem. Pelik bunyinya tapi ironinya terkesan. Takbir, bertahmid, selawat dan berdoa sebelum tidur. Mendendangkan muzik agung juga membuatkannya tenang dan mula merasai kemanisan itu. Semanis cinta. mekar dan ranum.

"Bismillahirrahmanirrahim, tabarakkallazi...." merdu alunannya. Walaupun tajwidnya sedikit menyongsang, dia yakin dengan ilmu yang pernah dipelajari waktu kanak-kanak dahulu. Ibu bapanya memang garang tentang bab agama. Rotan dan cubitan yang hinggap tanpa dipinta itu rela ditahan demi kebaikannya. Zahra agak nakal dan liat mengaji. Mujurlah ayahnya tidak bersikap terlalu memanjakan anak-anak.

Dia menunaikan solat sebelum tidur. Taubat dengan seikhlas hatinya." Ampunkan dosaku ya Allah. Aku mohon dengan sungguh-sungguh. Aku mohon dengan sungguh-sungguh" Zahra mengulang-ngulang. Penuh pengharapan. Rona keinsafan terbit dari dasar hati tanpa dipaksa keluar. Ternyata indah.

Di dasar hatinya, kesal dengan segala dosa dan noda yang pernah singgah dalam hidupnya. Lolongan nafsu memecah tali kesopanan dan tatasusila yang dililit kemas oleh ibubapanya. Harapannya cuma satu. Cinta Allah yang didamba. 

"Aku bertaubat kepadaMu ya Allah".


SONGSANG MENGUBAH ADAT(part 3)

Zahra terkebil-kebil kemudian tersenyum sendiri. Matanya tertumpu pada skrin komputer ribanya. Banyak gambar diupload dalam facebook sekarang. Ada yang menjengkelkan, lucu dan mencuit hati. Salah satunya gambar dari penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang turut dikenali sebagai photographer tegar. Namun gambar-gambar yang dirakam bukanlah seperti individu lain. Beliau lebih senang memuji kehebatan dan keindahan ciptaa Allah melalui shot-shot yang dihasilkan.

"Baik aku buka youtube sambil dengar ceramah ustaz. Lagi best" getus hatinya.

Dia cukup tertarik dengan bahasa yang diujarkan walaupun kelihatan sedikit kasar namun amat bermakna. Loghat negeri pantai Timur tetap utuh dilontarkan kotak suaranya walau  berada di mana sahaja dia menabur ilmu. 

"Orang puang kene tutup oratnya bila kuor rumoh. Ibu bapok dia kene suruh tutup aurat. Ayoh yang dop nasihat anok bini dianggap fasik" katanya. Keras bunyinya tapi cukup kuat untuk menembusi kelenjar otak sambil diperah untuk berfikir dan disimpan.

Dia hampir faham setiap butir kata yang didengarinya kerana dia sudah terbiasa mendengar ceramah beliau setiap malam. Walaupun dulu dia lebih jahil tentang agama, namun dia tetap berminat mendengar untaian kata penceramah versatil itu. Malah mengagumi bagaimana daie itu berfikir dan berseloroh. Mantap dan terkesan. Lagi hebat apabila beliau songsang mengubah adat!.

Kata-katanya kian menjalar ke pelusuk negara mengubah adat-adat yang dianggap jauh menyimpang dari agama. Merobek kesetiaan para pendengar yang masih utuh menggunakan adat-adat lama seperti bersanding, berkaraoke, dan sebagainya.

Zahra kagum..

LORONG KEAMPUNAN(part 2)

Dia masih berkira-kira-kira tentang waktu dan hati. Dia hanya mencintai lelaki ini dua tahun yang dulu. Kini bertukar benci kerana lelaki itu tidak lagi setia. "Aku tidak lagi mempercayai lelaki" getus hatinya. Dia turut terpempan dengan nasihat ibunya. 

"Jangan terfikir-fikir lagi Zahra, raihlah cinta Allah itu. Manusia yang setia hanya boleh dibilang dengan jari sahaja".

Zahra, secantik orangnya walaupun bertubuh sedikit gempal tetapi auratnya kini dibalut sempurna. Dulu tudung singkat berfesyen menjadi kegilaannya, kini perubahan dan hidayah Allah mendominasi dirinya. Tatkala dirundung kesakitan hati yang parah dengan duri-duri kelukaan, barulah dia tersedar. Rupanya Allah ingin memberikannya hidayah yang tidak mungkin dapat dibeli dengan emas dan permata. Hatinya kini padat dengan definasi-definasi cinta mengulit rasa. Rindu tatkala bangunnya terlena hingga dinihari. Dia terlupa bangun tahajud malam tadi!.

" Astagfirullahalazim, subhanallah. Tak sempat aku dating dengan Kekasih malam ini. Ruginya!" hatinya menimbul kesal.

Setelah berdoa, dia bingkas bangun membasahi kulit mulusnya dengan wuduk. Alangkah segarnya. Setelah menunaikan solat subuh, dia menjeling jam dinding. Jam 6.30 pagi. Dia menyambung doanya sambil berharap kehidupannya diwarnai dengan cinta Allah yang didambakan.

"Ya Allah, ampunlah dosa kedua ibubapaku. Kasihi mereka sebagaimana mereka mengasihiku semenjak kecil. Ampunkanlah segala dosa-dosaku, seluruh keluargaku dan muslimin muslimat. Ya Rabb, Kuatkan hatiku menempuh kehidupan ini. Berikan aku hidayahMu dan jangan Kau palingkan hatiku setelah kau memberi petunjuk.

Doanya disambung lagi..

" Ya Tuhanku, jauhkan aku dari manusia-manusia yang memusnahkan cintaku padaMu. Tunjukkan jodoh yang terbaik buatku. Amin ya rabbal alamin"..

Bersambung...


BENIH TAQWA (part 1)

Dia membilang-bilang tasbih sambil mulutnya yang sentiasa basah dengan zikir itu terus berzikir tanpa henti. Hatinya pasrah dengan segala musibah yang menimpanya akhir-akhir ini. Selama ini juga dia lupa. Allah mengujinya tatkala dia belum sedia diuji. Tapi sampai bila kita nak bersedia diuji. "Aku dipilih Allah"bisiknya di dalam hati.

Malam ini hatinya seakan lebih kuat dari biasa. Entah mengapa dia dapat mengumpul kekuatan itu selepas tahajudnya yang pertama beberapa bulan kebelakangan ini. Dia takjub dengan kebesaran Allah. Sesekali bunyi katak yang memanggil hujan yang sedia maklum selepas hujan membasahi tekak sang bumi. Dia terus meneruskan zikirullah yang jarang sekali diucapkan tatkala diuji dengan kesenangan. "Aku bertaubat kepadaMu ya Allah atas dosa-dosaku" hati kecilnya semakin luluh. Air mata kerinduan menitis tanpa dipaksa. Dia ingin bertaubat dengan taubat yang tulus. Yang membawanya dekat dengan Sang Pencipta. Air mata pantas menuruni denai kulit mukanya. Menjalar terus ke bibirnya yang bergerak seiring. Doa terus menerus dipanjatkan.

Dia bersyukur teman sebiliknya belum pulang dari kampung halaman. Bukannya apa. Bolehlah dia berdua-duan malam ini. Bercerita, mengadu dan meluahkan itu dan ini. Kepada Sang Kekasih yang satu itu. Yang sentiasa berada di hati manusia-manusia yang beriman dan membenih taqwa. Perlahan lahan dia mencapai Kitab Teragung pemberian Kekasihnya sejak berabad yang dulu. Yang dikurniakan melalui perantara yang cukup hebat dan agung.

"Aku pasti, inilah keputusanku".


bersambung.....

April 26, 2012

Terima Kasih CINTA

Syukron ya Allah.. Duka terhimpit, luka tersepit...mmbuat manusia sepertiku mnjadi lebih kuat..lebih ♥ Allah..lebih rindu..lebih kasih..

With love,
Hambamu..

April 21, 2012

Hobi Baru..

Assalamualaikum..
Da lama x jumpa..haha(ada ke jumpe?)
Saya ad hobi baru..just nk kongsi walaupun mmg buruk lukisan saya..

Taraa...

Saya cikgu baru, sila panggil saya cikgu Cetusan Nurani ..


 Lukisan ni paling saya suker..(sila gelak guling2)..ade ke angry bird pakai reben.hahah


 Semua lukisan buruk2 ni di bawah label(kononnye haku)..kihkih:


My label
:: Sekian ::

Kreatif ke?

Dilukis melalui Microsoft Excel...

April 20, 2012

Semakin Ku Mengerti

Semakin ku mengerti
Jarak ini menjadi perbatasan
 Menutup mata dan hati
dari terus alpa kepadaMu

Soleh...
Tutur dan bicara
Gaya dan laku
Adab dan watak
bahasa dan kiasan

Semakin ku mengerti
Waktu yang lama itu
Kau yang pantas menjaga
Redha Allah yg didambakan
Makin ku yakini




April 14, 2012

:: Dunia palsu ::

Dunia ini palsu,
pada zahir dan batinnya,
kiri kupandang, kanan ku toleh,
kejung...tiada jiwa...

ku terfikir, ku dongak ke awan biru,
hanya itu yang realitinya...
seperti syurga amannya...

kau tahu kenapa??
tidak difikir luhur dan ikhlasnya
terus menyambar bak api membakar
rakus dan serakah

dunia palsu
titik noktah kau tahu di dasar tanah
longlai tanpa bicara
azab menimpa, lemas tak bernyawa...

14 April 2012
8.26 malam